Thursday, 23 February 2012

Kebijaksanaan Iyas bin Mu'awiyah

Assalamu'alaikum wbt...

Ini hanyalah sekadar perkongsian...


*********************************************************************************


Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Iyas bin Mu'awiyah al-Muzani telah dipilih menjadi kadi iaitu hakim agung daerah Basrah.  Beliau terkenal sebagai seorang hakim yg amat bijaksana.


Nama sebenarnya ialah Iyas bin Mu'awiyah bin Qurrah al-Muzani, lahir pada tahun 46H di daerah Yamamah, Najd.  Kemudian beliau berpindah ke Basrah bersama seluruh ahli keluarganya.  Di sanalah beliau membesar dan belajar.  Beliau sering pergi ke Damsyik ketika masih remaja, untuk menimba ilmu daripada para sahabat yg mulia dan tokoh-tokoh tabiin yg masih hidup pada ketika itu.


Kecerdasan dan bakat hakim ini sebenarnya telah terserlah sejak kecil.  Orang ramai sering membicarakan kehebatan dirinya ketikan beliau masih kanak-kanak.  Telah diriwayatkan bahawa ketika masih kecil, beliau belajar ilmu Matematik di sebuah sekolah yg diajar oleh Yahudi ahli zimmah.


Pada suatu hari, berkumpullah teman-temannya daripada kalangan Yahudi itu, lalu mereka asyik membicarakan masalah agama mereka tanpa menyedari bahawa Iyas turut mendengarnya.


Guru Yahudi itu berkata kepada teman-teman Iyas: 'Tidakkah kalian hairan dengan orang Islam?  Mereka berkata bahawa mereka akan makan di syurga sebanyak yg dikehendaki, namun tidak akan buang air besar.'


Kata-kata itu telah menyebabkan murid-murid Yahudi itu tergelak besar kerana guru itu telah memperbodohkan umat Islam.


Iyas lalu berkata: 'Bolehkah saya turut terlibat dalam perkara yg kalian bincangkan ini wahai guru?'


'Silakan!'


Iyas bertanya: 'Adakah semua makanan yg dimakan di dunia ini keluar menjadi najis dan kotoran yg keluar dari tubuh?'


Jawabnya: 'Tidak.'


Iyas bertanya lagi: 'Lantas ke mana pergi makanan yg tidak keluar itu?'


Guru mula terjerat dengan kebodohannya sendiri.  Dia menjawab: 'Ia akan bertukar menjadi zat untuk jasmani.'


Iyas meneruskan soalannya: 'Lantas, mengapakah kalian mengingkari bahawa makanan itu boleh kekal dalam tubuh?  Jika makanan yg kita makan di dunia sebahagiannya diserap oleh tubuh, maka tentulah tidak mustahil di syurga seluruhnya diserap oleh tubuh untuk menjadi zat jasmani.'


Merasai bahawa dia telah tewas oleh jawapan anak muridnya yg masih mentah itu, guru tersebut memberikan isyarat dengan tangannya sambil berkata kepada Iyas: 'Semoga Allah mematikan kamu sebelum dewasa.'


Semakin hari semakin tersohor kehebatan Iyas, sehinggakan ramai yg datang menziarahinya dari seluruh pelosok tempat unutk menyaksikan sendiri keluasan ilmu, kewarakan, dan kecerdasan beliau.  Sebahagiannya ingin belajar dengannya, sementara yg lainnya ingin menguji dan ada pula yg hendak berdebat dengannya.


Pernah seorang bertaraf pemimpin kaum datang ke majlisnya.  Beliau bertanya: 'Wahai Abu Wathilah (gelaran buat Iyas), apa pendapatmu tentang minuman yg memabukkan?'


Bagi orang soleh yg tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT, Iyas telah diberikan firasat yg benar menyebabkannya merasakan bahawa pertanyaan lelaki itu hanya bertujuan untuk menguji dan seterusnya ingin menghinanya.


Dia menjawab dengan tegas: 'Haram!'


Pemimpin itu terus bertanya: 'Dari sisi manakah dikatakan haram, sedangkan ia buah dan air yg diperam.  Kedua-duanya berasal daripada bahan yg halal.'


Iyas bertanya: 'Adakah engkau sudah selesai berbicara, wahai saudara, atau masih ada yg hendak kau tanyakan?'


Pemimpin itu berkata: 'Sudah, silakan!'


Iyas mengatakan: 'Seandainya kuambil air dan kusiramkan ke mukamu, apakah engkau berasa sakit?'


Jawab lelaki itu: 'Tidak!'


Iyas bertanya lagi: 'Jika kuambil segenggam pasir lalu kulemparkan kepadamu, adakah terasa sakit?'


Dia menjawab penuh yakin: 'Tidak!'


Iyas kemudian bertanya lagi: 'Sekarang, jika kuambil pasir, dicampurkan dengan sebekas air, lalu digaulkan.  Adunan itu aku jemur sehingga kering, lalu akhirnya aku pukulkan pada kepalamu, adakah engkau berasa sakit?'


Lelaki itu terkejut lalu berkata: 'Tentulah, bahkan ia boleh membunuhku!'


Iyas menerangkan: 'Begitulah halnya dengan khamir iaitu arak.  Apabila dikumpulkan bahagian-bahagiannya dan diolah menjadi minuman yg memabukkan, maka dia menjadi haram.'


Credit:

Image - http://imageshack.us/photo/my-images/74/islamclipart7cm0.jpg/ 

Story - Ustaz Hj. Zahazan Mohamed (2011) Iyas bin Mu'awiyah Mematahkan Hujah Guru Yahudi.  Dalam Solusi: Isu Khas Sempena Ramadan dan Syawal, Isu No. 34.  Kuala Lumpur: Telaga Biru.                 













2 comments:

  1. Assalamualaikum, susah bila haram tu dah menjadi satu kebiasaan =) huhu..

    iman.. iman..

    p/s : =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam wbt...

      Betul2.. La ni.. yg haram jadi halal, yg halal pulak dikatakan kolot... Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dlm menyebarkan syiar Islam. InsyaAllah.

      p/s: ^_^

      Delete